SUNGAI SIPUT – Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pelus di Kampung Chenein, Lasah di sini semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa, Amran Ahin, 43, bersama anak lelakinya sedang memasang pukat sebelum dua beranak itu terjatuh ke dalam sungai.
Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada berhampiran lokasi kejadian manakala mangsa dihanyutkan arus deras.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 9.34 malam dengan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, operasi SAR yang dimulakan hari ini ekoran cuaca gelap semalam menggunakan bot bagi menjalankan pencarian dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Pencarian juga dilakukan menggunakan kaedah carian di permukaan kiri dan kanan tebing sungai, ikut aliran sungai dan selaman pada lokasi yang dikenal pasti.
“Operasi pencarian juga akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan melibatkan agensi lain termasuk orang awam. Setakat ini mangsa masih belum dijumpai,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR menggunakan empat buah bot itu turut dibantu anggota BBP Kuala Kangsar dan BBP Ipoh termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA). – KOSMO! ONLINE