PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada pukul 9.57 pagi tadi untuk memberi keterangan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.
Keterangan Ahli Parlimen Bera yang dibuat hari ini adalah kali yang kelima dengan kali terakhir pada Isnin lepas.
Ismail Sabri yang menaiki kenderaan berwarna hitam sempat melambaikan tangan kepada petugas media berkumpul di pekarangan Ibu Pejabat SPRM.
Semalam, sesi merakam keterangan pemimpin politik itu ditangguhkan ke hari ini, namun sumber tidak menyatakan sebab-sebab penangguhan tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan ke atas Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.
Ismail Sabri merupakan suspek siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam ‘safe house’.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE