PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT dan berdoa agar keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan menerusi proses mahkamah hari ini.
Menurut Syed Saddiq, beliau juga sudah menunggu sejak sekian lama untuk menuntut keadilan setelah disiasat sejak tahun 2020.
“Alhamdulilhah, tibanya juga hari ini. Saya berada di pintu Mahkamah Rayuan dengan penuh sifat bermuhasabah dan yakin untuk menuntut keadilan dan kebenaran.
“Saya yakin bahawa institusi kehakiman yang saya hormati, pertahan dan martabatkan adalah jalan yang terbaik untuk membersihkan nama saya dan untuk membuktikan integriti saya.
“Realitinya kes ini lebih besar daripada saya Syed Saddiq semata-mata,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini hari ini.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut menyifatkan perjuangan beliau dalam kes tersebut merupakan sebahagian usahanya untuk membawa politik yang bersih di negara ini. – KOSMO! ONLINE