fbpx

245,523 teks, bahan al-Quran tiada kelulusan disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin menyantuni pelajar tahfiz pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni sempena Sambutan Nuzul Quran dan Ihya Ramadan di Masjid Al-Islah, Bandar Baharu pada semalam.

BANDAR BAHARU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menyita sebanyak 245,523 teks dan bahan al-Quran termasuk yang tanpa kelulusan bernilai RM12 juta sejak 2018 hingga tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah sitaan itu diperoleh hasil pemeriksaan yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN ke atas 15,000 premis di seluruh negara.

“Penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 dan sebanyak 1,220 kertas siasatan telah dibuka,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni sempena Sambutan Nuzul Quran dan Ihya Ramadan di Masjid Al-Islah, di sini semalam.

Katanya, pada tahun lalu sahaja, pihaknya melakukan operasi ke atas 6,439 premis dan menyita 22,492 teks dan bahan al-Quran bernilai RM3.4 juta dengan sebanyak 237 kertas siasatan dibuka.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya juga sedang menggerakkan Ops Mulia sepanjang Ramadan ini iaitu mulai 7 Mac hingga 26 Mac bagi memantau dan mengawal selia Akta Percetakan Teks al-Quran.

“Sepanjang tempoh itu, kami akan memeriksa syarikat percetakan, premis dan individu. Setakat 12 Mac lalu, kami telah memeriksa 794 premis melibatkan hasil sitaan RM502,737. Sebanyak 734 naskhah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran telah disita dengan 88 kertas siasatan dibuka,” katanya.

Jelasnya, operasi sama pada tahun lepas melibatkan pemeriksaan ke atas 822 premis dengan sitaan sebanyak 8,212 naskhah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta membabitkan 160 kertas siasatan.

“Penguatkuasaan ini penting untuk memastikan kepatuhan undang-undang dan pemeliharaan kesucian teks al-Quran,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, selain penguatkuasaan, bahagian berkenaan juga bertanggungjawab dalam program pelupusan al-Quran yang rosak serta tidak boleh digunakan lagi termasuk akibat kejadian banjir besar.

“Ada satu program yang kami namakan pemuliaan al-Quran yang merujuk kepada kaedah kita melupuskan al-Quran. Naskhah al-Quran itu kita lupuskan dengan menjadikannya sebagai abu dan kemudian kita lepaskan ke laut.

“Tahun lepas sahaja kita telah laksanakan sebanyak enam kali iaitu di Selangor, Pahang, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan saya sendiri melakukannya di Sabah,” ujarnya.

Jelasnya, secara keseluruhannya, pihaknya telah melupuskan 31,836 teks dan bahan al-Quran seberat 32.3 tan yang bernilai RM686,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI