PUTRAJAYA – Selepas bersama ke sidang Dewan Rakyat bulan lalu, pelakon, Bella Astillah hari ini sekali lagi menemani Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Rayuan.
Dengan berbaju kurung Bella, 31, tiba di pekarangan Istana Kehakiman pada pukul 8.40 pagi.
Hari ini merupakan pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar itu terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang akan didengar tiga panel hakim.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Jika gagal membayar denda,Syed Saddiq boleh dipenjara empat tahun.
Bagaimanapun Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini Bella pernah menemani Syed Saddiq ke sidang sidang Dewan Rakyat yang mana Syed Saddiq segak berbaju Melayu manakala Bella berbaju kurung apabila kedua-duanya mengenakan rona sedondon.
Lebih mengujakan, anak sulung Bella, Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff turut hadir dengan berpakaian segak seakan Ahli Parlimen, mengenakan kot kelabu dan tanda nama.
Video kehadiran Bella di Parlimen dikongsi menerusi Facebook Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. – KOSMO! ONLINE
@thehazzzzzzzs #bellaastillah #syedsaddiq ♬ kembali pulang suara kayu piano – Lyn 🤍