PENDANG – Pemandu lori yang maut dalam kemalangan di Kilometer 331.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Tapah, Perak bersama anak lelakinya semalam sempat menunaikan hajat bersedekah kepada kakak iparnya di Sik Sabtu lalu sebelum keluar bekerja.
Nur Atiqah Qistina, 17, berkata, arwah bapanya, Abdul Aziz Shafie, 45, kelihatan tergesa-gesa berbuat demikian seolah-olah tahu dia tidak akan ‘pulang’ lagi.
Katanya, arwah juga bersemangat mengajak mereka berpuasa di rumah ibu saudaranya itu sebelum pergi bekerja keesokan harinya bersama abangnya, Muhammad Alif Hakymie, 23, yang turut terkorban dalam nahas terbabit.
“Abah cakap kena hantar juga beras dua kampit kepada kakak ibu sebelum dia pergi kerja. Arwah nak pergi juga (Sik), nak lepaskan hajatnya. Jadi kami empat beranak pergi ke Sik kecuali arwah abang,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Pokok Tai Lama, di sini malam tadi.
Arwah Abdul Aziz meninggalkan balu, Ismaliza Ismail, 46, dan dua anak termasuk Nur Ain Umairah.
Nur Atiqah Qistina berkata, berita kematian bapa dan abang itu memberi tamparan hebat buat ibu saudara mereka, Ismarubi, 50, dan keluarga di Sik.
“Selain ibu, ibu saudara saya juga hampir pengsan apabila mendengar berita kematian abah dan abang. Mungkin dia terkejut dan sedih. Kami sekeluarga reda walaupun menyambut abah dan abang dalam keadaan tidak bernyawa pada hari yang mereka sepatutnya pulang hari ini (semalam),” katanya.
Selain itu, Nur Ain Umairah, 11, yang rapat dengan arwah abangnya berkata, Muhammad Alif Hakymie berperangai pelik apabila menyuarakan hasrat untuk mengajak keluarga mereka bergambar bersama di studio pada hari raya nanti.
“Arwah cakap dia nak tempah studio mahu ambil gambar untuk raya nanti, dia tidak pernah buat sebelum ini. Arwah juga teruja nak sambut raya siap beli baju raya sedondon berwarna biru laut lengkap dengan samping termasuk untuk kucing kesayangannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE