PUTRAJAYA – Ahli keluarga Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat tiba seawal pukul 8 pagi di Istana Kehakiman di sini bagi mengikuti pendengaran rayuan membabitkan ahli Parlimen Muar itu.
Kedua ibu bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz hadir dengan ditemani tiga lagi anaknya.
Ketibaan mereka disambut beberapa ahli dan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di pekarangan mahkamah.
Antara yang turut hadir bagi memberikan sokongan ialah pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz dan bekas Ketua Penerangan parti itu, Luqman Long.
Media melaporkan, pendengaran rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE