fbpx

Pak cik tampar pemuda bukan Muslim dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LELAKI warga emas yang menampar pemuda bukan Muslim akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok.

ISKANDAR PUTERI – Warga emas yang bertindak menampar seorang pemuda bukan Islam akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek berusia 65 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Katanya, suspek berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan telah mendapat arahan untuk pertuduhan pada 19 Mac 2025.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan warga tempatan berusia 65 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,”katanya dalam satu kenyataan di sini ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, rakaman percakapan lelaki itu telah dibuat semalam.

Jelasnya, mangsa warga tempatan berusia 21 tahun telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan.

“Manakala suspek serta beberapa saksi termasuk anaknya sudah dirakam percakapan.

“Doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk TPR sebelum Jumaat ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

Insiden kejadian itu tular selepas video pertengkaran antara dua lelaki dimuat naik di laman X oleh pemilik akaun @bingbinge656.

Mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.

Difahamkan, suspek bertindak demikian kerana marah mangsa yang cuba memasuki kedai serbaneka untuk membeli makanan selain menuduh mangsa tidak berpuasa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI