BEIRUT – Sebuah kediaman tepi laut yang unik di Lebanon menjadi popular dalam kalangan pelancong, lapor laman berita MailOnline kelmarin.
Rumah dikenali sebagai ‘The Grudge’ itu memiliki lebar cuma 0.6 meter pada titik paling sempit dan 4.3 meter pada ruang paling lebar. Kediaman paling nipis itu terletak di kejiranan Manara, Beirut.
Walaupun sempit, bangunan itu boleh didiami dan dilengkapi bilik tidur, dapur dan tingkap. Ia turut menawarkan pemandangan Laut Mediterranean,
Ironinya, The Grudge kini merupakan salah satu hartanah paling berharga di Beirut.
Seorang penduduk tempatan yang berdendam dikatakan sengaja mendirikan bangunan paling kurus itu pada 1954.
Dia membina kediaman itu bertujuan untuk merosakkan pemandangan tepi pantai saudara kandungnya berikutan pertikaian mengenai pembahagian harta. – AGENSI