PETALING JAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan masuk 15 lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai pasukan kriket di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
AKPS berkata, kumpulan itu cuba mengaburi mata pegawai agensi tersebut dengan berpakaian seragam sukan kriket dan mengemukakan surat penganjuran kejohanan.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati mendapati surat kononnya dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang adalah palsu.
“Tiada sebarang kejohanan kriket dijadualkan berlangsung dari 21 Mac hingga 23 Mac 2025 seperti tercatat dalam dokumen tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lebih mencurigakan, kumpulan warga asing tersebut cuba mendapatkan seorang penaja sebagai penjamin.
“Namun, ‘penjamin’ yang hadir mengaku tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan kriket, sebaliknya hadir sebagai wakil syarikat.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada bukti kukuh mereka (warga asing) adalah pemain kriket.
“Mungkin mereka sebahagian daripada sindiket yang cuba menyamar sebagai pemain kriket untuk memasuki negara ini atas tujuan lain,” katanya.
Pihak AKPS kemudian memutuskan agar kumpulan ini tidak dibenarkan mendarat (NTL) dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
“Pihak AKPS memberi amaran, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan seperti bekerja secara tidak sah atau pemerdagangan manusia.
“(Langkah) Ini bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem imigresen negara terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE