fbpx

‘Sepatutnya raya ini kami sedondon tema biru laut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai Lama, Pendang.

TAPAH – Kedatangan Syawal kurang dua minggu lagi sepatutnya disambut meriah, namun tidak bagi Nur Atiqah Qistina Abdul Aziz apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata.

Dalam kejadian pada pukul 7.46 pagi itu, bapanya, Abdul Aziz Shafie, 45, dan abangnya, Muhammad Alif Hakymie, 23, rentung dalam nahas membabitkan dua buah treler di Kilometer 331.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Menurut remaja berusia 17 tahun itu, dia seakan tidak percaya dan bagaikan hilang punca apabila mengetahui bapa dan abangnya terkorban dalam kemalangan tersebut.

Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas seorang jiran datang ke sekolah untuk membawanya pulang ke rumah.

“Saya rasa sedih dan tidak sangka mereka akan pergi. Tahun ini rasa macam tidak beraya walaupun semua persiapan telah dibuat. Baju dan langsir ibu sudah siapkan.

“Sepatutnya raya kali ini kami semua memakai baju sedondon warna biru laut. Kedatangan Aidilfitri kali ini suram dan tidak lagi bermakna bila mereka pergi tinggalkan kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tapah, di sini hari ini.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, bapa dan abangnya yang merupakan pemandu dan kelindan treler muatan pasir itu pergi ke Pahang sejak Ahad lalu dan sepatutnya pulang ke rumah di Kampung Pokok Tai Lama, Pendang, Kedah hari ini.

“Abang selalu ikut abah, kadang-kadang lori mereka bawa (muatan) pasir, tapi ada juga bawa barangan lain seperti beras. Mereka keluar rumah pada Ahad lalu dan saya dimaklumkan, hari itu juga kali terakhir abah menghubungi ibu.

“Kehilangan abah dan abang menyebabkan kami hilang tempat bergantung. Bagaimanapun kami reda dan terima takdir ini,” katanya.

Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Tai Lama.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintendan Mohd. Fadzil Ismail berkata, pelanggaran melibatkan dua kenderaan berat tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI