LUMUT – Sindiket penyeludupan migran dikesan menggunakan taktik terbaru bagi menjalankan kegiatannya termasuk bergerak dalam kumpulan kecil serta menggunakan nelayan tempatan sebagai perisik mereka.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata ‘trend’ terkini itu dikesan sewaktu pihaknya menjalankan penguatkuasaan khususnya sepanjang Ops Benteng Laut ketika pandemik Covid-19 sekarang.
“Modus operandi (MO) kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) kebiasaannya didalangi tekong bot warga Indonesia yang akan berurusan dengan tekong darat bagi menguruskan PATI keluar masuk melalui perairan Malaysia.
“Ada bot nelayan tempatan di kawasan Pulau Jarak dekat sini serta kawasan sempadan yang hampir perairan Indonesia menjadi mata-mata kepada mereka yang melakukan penyeludupan mahupun migran,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pengoperasian dan penguatkuasaan sekitar perairan Lumut di sini lewat petang semalam.
Katanya, bagi APMM Perak, kehadiran dua aset terbaru bot laju yang diterima iaitu masing-masing sebuah Bot Benteng akhir tahun lalu dan Bot Perkasa pada bulan ini, menambah aset ronda kepada 13 bot sekali gus memantapkan operasi pasukan itu di perairan negeri.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, APMM telah mengusir 107 bot nelayan asing dari perairan Malaysia yang rata-rata lokasi pengusiran adalah di sekitar kawasan tuntutan bertindih.
“Kehadiran aset penguatkuasaan di kawasan ‘hot spot’ ini dilihat dapat membendung kemasukan bot nelayan asing yang dikhuatiri pembawa pandemik Covid-19,” ujarnya.
Sepanjang tahun lalu juga, katanya, agensi itu telah merekodkan 62 kes tangkapan bot nelayan tempatan yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti perikanan. -K! ONLINE