JERANTUT – Kementerian Pengangkutan meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyiasat syarikat bas yang mengenakan tambang berganda kepada perantau yang pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya berkali-kali memberi peringatan kepada pengusaha syarikat bas supaya tidak menaikkan harga tambang pada musim perayaan dan hari biasa sehingga menyusahkan orang ramai pulang ke kampung.
“Di bawah peraturan semasa, terdapat dua jenis kategori perkhidmatan bas ekspres iaitu ekonomi dan eksekutif yang mana kadar tambang bagi kategori ekonomi dikawal selia dan ditetapkan oleh kerajaan, manakala kadar tambang eksekutif pula berdasarkan penawaran dan permintaan.
“Kementerian ini menerusi APAD ingin mengingatkan orang ramai untuk membuat pilihan yang bijak semasa membeli tiket bas kerana harga tiket berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang,” katanya selepas program pertukaran topi keledar dengan penduduk di sini hari ini.
Hari ini, Kosmo! menerusi laporan muka hadapannya melaporkan rungutan orang ramai mengenai tambang bas ke destinasi Pantai Timur meningkat dua kali ganda mencecah hampir RM120 berbanding sebelum musim perayaan sebanyak RM40 sahaja.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, kementeriannya turut menerima aduan mengenai kenaikan tambang daripada orang ramai dan mengarahkan APAD supaya turun padang menyisat syarikat bas berkenaan hari ini untuk tindakan lanjut.
“Saya masih belum menerima laporan APAD sama ada kenaikan tambang itu membabitkan bas ekonomi atau bas eksekutif. Sekiranya siasatan mendapati (aduan) bas ekonomi menaikkan tambang, permit pengendalian pengangkutan syarikat bas berkenaan akan ditarik balik.
“Begitu juga bas eksekutif pun kita akan lihat. Kalau ia (syarikat) naik agak keterlaluan, kita akan ambil tindakan. Jadi perkara ini saya akan rujuk kepada pihak APAD terlebih dahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE