fbpx

Untung besar jual dessert Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Najeerah menunjukkan pencuci mulut popular Thailand yang dijual di gerainya di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh, Besut sejak 1 Ramadan lalu.

BESUT – Seorang peniaga tersenyum lebar apabila mampu me­raih hampir RM10,000 sehari hasil jualan kuih-muih dan pencuci mulut popular Thailand di Kampung Gong Kemuntong, Jerteh di sini sejak 1 Ramadan lalu.

Nurul Najeerah Zainun Abidin, 30, berkata, sebanyak 100 hingga 110 jenis kuih dan pencuci mulut negara jiran ditawarkan di ge­rainya setiap hari sebagai sajian untuk berbuka puasa dan moreh.

“Kuih-muih dan pencuci mulut itu dibuat sendiri dengan bantuan 15 pekerja setiap hari. Keba­nyakannya saya belajar daripada nenek yang berasal dari Tak Bai di Selatan Thailand,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.

Nurul Najeerah berkata, dia belajar membuat sendiri kuih-muih popular itu setelah merasai keenakannya sewaktu pulang ke kampung neneknya.

Berkat kemahiran memasak, wanita itu menjadi mahir menghasilkan ratusan jenis kuih-muih tersebut.

Antara kuih dan pencuci mulut Thailand yang mendapat permintaan tinggi ialah kuba gu­ling, mawkeang, pulut pisang, pulut nangka, sekaya labu, sekaya nangka dan sekaya pisang.

“Kesemua kuih dan pencuci mulut Thailand ini dijual pada harga RM5 hingga RM15 bergantung kepada jenis,” katanya.

Nurul Najeerah memberitahu, setiap kuih-muih itu mempu­nyai peminat tersendiri terutama mereka yang pernah merasai keenakannya sewaktu melancong ke negara jiran.

Katanya, kuih-muih dan pencuci mulut Thailand tersebut hanya dijualnya pada bulan Ramadan sejak lima tahun lalu.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kebanyakan kuih-muih ini habis dijual dalam masa dua jam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI