PETALING JAYA – Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam kira-kira dua minggu lagi turut menjadi peluang kepada rakyat Malaysia bukan Muslim untuk membeli baju Melayu dan baju kurung.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Thread aintnocrybry, pemuda tersebut turut mencari baju Melayu dan pelbagai barangan lain sempena Aidilfitri, sedangkan dia berbangsa Cina bukan Islam.
“Saya Cina kan, tapi saya tidak akan bersusah payah keluar nak cari pakaian Tahun Baharu Cina. Bila tiba hari raya, saya pula akan beli baju Melayu atau kurta dan barangan lain macam orang Melayu,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Menjawab pertanyaan pengguna Thread lain, pemuda tersebut memaklumkan dia turut mempunyai nama lain diberikan oleh rakannya yang beragama Islam.
“Siap ada nama Melayu bulan Ramadan, Saya Ibryhim atau Baim. Hari biasa saya Bryan atau Bry,” katanya yang juga seorang pereka fesyen.
Hantaran itu diakui oleh pengguna Thread yang lain apabila mereka juga melakukan perkara sama membeli pakaian tradisi orang Melayu sedangkan tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Cina di sini, beli set baharu baju raya setiap tahun,” komen Cathyyy.
“Sama, saya ada beberapa kurta, tapi tiada samfu,” kata Jengtau.
“Sebabnya baju kurung atau kebaya boleh pakai setiap hari, tapi cheongsam tak boleh,” kata Xiuyuann.
“Kebetulan jadi cerita, kami nampak baju Melayu cantik. Ada satu pelanggan Cina tegur, ‘bang you nak beli baju Melayu tak? Jom kongsi, saya nak beli satu saja. Tapi sepasang RM100, kalau beli dua pasang RM120 murah’. Tapi kita orang tak beli baju raya, kita orang tolak tawaran dia. Masalahnya member muka seronok eh beli baju raya,” kata Cik Ieka Atiqah. – KOSMO! ONLINE