SEREMBAN – Polis membongkar taktik licik sindiket yang menjadikan kilang dan beberapa inap desa di daerah ini sejak awal tahun ini sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bernilai RM38.91 juta.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun di kawasan kilang di Jalan Tun Dr. Ismail, di sini, pada pukul 6.30 petang, 13 Mac lalu.
Katanya, suspek yang dipercayai bertindak sebagai ‘penjaga’ merangkap ahli sindiket itu seterusnya membawa pasukan serbuan ke tiga buah lokasi homestay di Taman Sri Rahang, Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan kilang sebagai tempat memproses dan rumah (homestay) sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran Lembah Klang dan selatan.
“Hasil siasatan mendapati sindiket itu baru memasuki homestay hampir dua minggu dan akan berpindah-randah dari satu homestay ke homestay lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, jumlah keseluruhan rampasan adalah 274.14 kilogram (kg) dadah iaitu ketamin seberat 335.65 gram, heroin base (2,058 gram), syabu (12,044 gram), serbuk ekstasi (80,201 gram), pil ekstasi (125,258 gram), pil eramin 5 (39,242 gram) dan 15,000 gram (ganja) bernilai RM38,909,410.
Antara barangan yang dirampas di lokasi serbuan pertama adalah 63 buah mesin pelbagai jenis disyaki untuk memproses dadah sintetik, 14 balang kaca serta dua buah mesin pencetak pil di lokasi ketiga.
“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 turut melibat sitaan sebuah kenderaan, wang tunai dan barang kemas bernilai RM253,413.32 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM39,162,823.32,” katanya.- KOSMO! ONLINE