SUNGAI PETANI – Sebuah kilang memproses makanan di jalan Semeling, Bedong, dekat sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Zon 2 Sungai Petani Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Naim Mat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 8.48 pagi tadi.
Katanya, seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) Bedong.
“Sebaik tiba di lokasi kita dapati kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses produk makanan seperti kuetiau, laksa dan mi.
“Kebakaran melibatkan stok-stok makanan lama dengan anggaran kemusnahan 70 peratus,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu dengan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.48 tengah hari tadi.
“Anggaran kemusnahan kasar adalah 70 peratus daripada segi struktur dan isi, manakala punca sumber nyalaan api serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE