RIYADH – Pihak berkuasa Arab Saudi menahan lebih 50 orang termasuk pekerja seks dan warga asing ketika polis membanteras pelbagai kegiatan tidak bermoral, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kementerian Dalam Negeri menahan 11 wanita atas tuduhan menawarkan khidmat seks, demikian menurut akhbar Financial Times.
Unit keselamatan masyarakat yang baru ditubuhkan turut menahan berpuluh-puluh warga asing atas dakwaan kesalahan di rumah urut dan kerana memaksa wanita dan kanak-kanak mengemis.
Kementerian Dalam Negeri pada bulan lalu mewujudkan unit tersebut sebagai usaha untuk menegakkan hak peribadi dan kebebasan asasi yang dijamin oleh undang-undang syariah serta melindungi maruah individu.
Penganalisis-penganalisis berkata, unit keselamatan komuniti itu ditubuhkan sebagai tindak balas kepada peningkatan kegiatan tidak bermoral yang ketara.
Pihak berkuasa Arab Saudi turut didakwa berdepan peningkatan dalam penyalahgunaan dadah dan aktiviti pelacuran.
Beberapa pakar mencadangkan bahawa tindakan melonggarkan sekatan visa dan sekatan terhadap kebebasan wanita membolehkan kegiatan perdagangan seks berleluasa di di negara itu.
Mereka berkata, pelancongan, perubahan sosial yang pesat dan peningkatan jumlah pekerja asing di negara itu menyumbang kepada peningkatan aktiviti jenayah. – AGENSI