BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya 342 rakyat Palestin terbunuh ketika Israel melancarkan serangan besar-besaran di Semenanjung Gaza.
Saluran berita Al Jazeera melaporkan, serangan hari ini berlaku di seluruh wilayah Palestin itu, termasuk Khan Younis dan Rafah di selatan, Bandar Gaza di utara dan kawasan tengah Gaza seperti Deir al-Balah.
Ramai daripada mereka yang terbunuh ialah kanak-kanak, demikian menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza berkata, pihaknya melihat serangan Israel sebagai pembatalan gencatan senjata yang bermula pada 19 Januari lalu.
“Netanyahu dan kerajaan pelampaunya membuat keputusan untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata sekali gus mendedahkan tebusan Israel di Gaza kepada nasib yang tidak diketahui,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Ia menyeru negara-negara Arab dan Islam bersama-sama ‘orang bebas di dunia’ turun ke jalanan bagi membantah serangan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, dia mengarahkan tentera untuk mengambil ‘tindakan keras’ terhadap Hamas kerana keengganan mereka membebaskan tebusan seterusnya.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata, Israel telah berunding dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai serangan itu.
Melaporkan dari Deir el-Balah, wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum berkata, serangan tertumpu di kawasan kejiranan, sekolah sementara dan bangunan kediaman di mana orang ramai berteduh.
“Kami mendengar dalam sejam yang lalu kehadiran jelas dron dan jet pejuang Israel di langit di kawasan tengah.
“Kami difahamkan bahawa antara mereka yang menjadi mangsa serangan itu adalah bayi yang baru lahir, kanak-kanak, wanita dan orang tua,” kata Tareq sambil menambah, beberapa pegawai tinggi Hamas turut terbunuh. – AGENSI