KUALA LUMPUR – Attana Hotels & Resorts (Attana) mengedarkan sebanyak 250 pek makanan dan 250 kit barangan kering kepada gelandangan dan individu yang kurang bernasib baik di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit di sini baru-baru ini.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif program tanggungjawab korporat (CSR) syarikat yang turut mendapat sokongan Pertiwi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Bertujuan untuk menceriakan aktiviti gelandangan di bulan Ramadan, pek makanan tersebut juga memberi peluang kepada kumpulan tersebut berbuka puasa dengan hidangan yang dimasak oleh cef berpengalaman daripada salah sebuah hotel milik Attana.
Pengurus Besar Attana, Mohd. Iqmal Muslim berkata, ini adalah tahun kedua syarikat menganjurkan program CSR untuk membantu golongan yang terkesan selain dapat memperkukuhkan komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial tersebut.
“Di Attana, kami percaya pada kekuatan untuk memberi kembali kepada masyarakat, komitmen kami terhadap inisiatif itu berteraskan komuniti mencerminkan dedikasi untuk membawa perubahan bermakna.
“Kami berharap inisiatif tersebut akan dapat menggalakkan tindakan kolektif dan memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di Chow Kit baru-baru ini.
Pada hari sama, Attana turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Rumah Perlindungan Qaseh, Taman Melawati dan Akademi Sains dan Tahfiz Al-Quran Sains Wangsa Melawati. -KOSMO! ONLINE