PETALING JAYA – Impian pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) menaiki sekurang-kurangnya satu podium pada Jelajah Taiwan sedang berlangsung sehingga esok akhirnya tercapai.
Ia selepas Kee Zhe Yie dinobatkan sebagai pelumba Asia Terbaik di pusingan pertama Jelajah Taiwan pada Ahad lalu dan Mathias Bregnhoj memenangi jersi polka dot sewaktu pusingan ketiga hari ini.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, Jelajah Taiwan adalah kejohanan pembuka tirai dalam kalendar berbasikal tahun ini.
“Kejohanan melibatkan lima peringkat sejauh 646.49 kilometer ini merupakan medan sulung TSG untuk menguji kekuatan barisan pelumba bagi musim baharu ini.
“Kami mempertaruhkan Metkel Eyob (Eritrea), Mathias Bregnhoj (Denmark), Stefan De Bod (Afrika Selatan) serta debut daripada Vadim Pronskiy (Kazakhstan) selain pelumba tempatan, Kee Zhe Yie,” katanya.
Nasiruddin berkata, kesemua lima pelumba terbabit memiliki kelebihan dalam perlumbaan melibatkan pendakian memandangkan Jelajah Taiwan semenangnya terkenal dengan laluan berbukit yang mencabar.
“Kami akan memastikan pasukan sentiasa berada dalam kelompok terbaik sepanjang perlumbaan. Namun, kami berdepan saingan sengit daripada pasukan yang berpengalaman dari Eropah, Australia dan Jepun,” katanya.
Dalam pada itu, Nasiruddin berkata, TSG juga akan menyertai Men’s Tour of Thailand bakal berlangsung pada 24 Mac ini dan tidak menolak kemungkinan menyenaraikan barisan pelumba lain dalam kejohanan kedua demi mengekalkan keseimbangan dan kekuatan pasukan. – KOSMO! ONLINE