LONDON – Berbaki lebih kurang sembilan aksi terakhir saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Opta super komputer menjangkakan Liverpool bakal terus mengekalkan penguasaan untuk muncul juara.
Biarpun berada pada prestasi goyah selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dan tewas pada pentas final Piala Liga Inggeris menentang Newcastle United kelmarin, kelebihan 12 mata di puncak EPL dilihat mampu membantu.
Berdasarakan ramalan Opta, Liverpool memiliki 98.98 peratus (%) peluang untuk menjulang gelaran EPL musim ini berbanding pencabar utama Arsenal yang hanya diberikan 1.02% peluang menamatkan penantian sejak 2004.
Menerusi sembilan aksi terakhir yang akan dilalui termasuk pertemuan menentang Everton, Leicester, West Ham United dan Crystal Palace, Liverpool diramal mampu meraih sekurang-kurangnya 19.43 mata untuk mengumpul keseluruhan 89.43 mata dan cukup untuk mereka menjulang gelaran.
Bagi Arsenal, Opta menjangkakan mereka akan menamatkan musim ini dengan mengumpul 76.75 mata pada hujung musim dalam 38 aksi keseluruhan dan sekali lagi hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan kedua untuk musim ketiga berturut-turut.
Sementara itu, dua lagi pasukan yang dijangka memenuhi slot ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) adalah Nottingham Forest dan Manchester City bakal memintas Chelsea untuk ke saingan utama pentas Eropah berkenaan.
Sementara itu, Chelsea bukan sahaja bakal kehilangan tempat ke UCL, Opta turut menjangkakan mereka tidak mampu untuk layak ke saingan Liga Europa yang bakal dirampas oleh Newcastle dan terpaksa berpuas hari beraksi di Liga Konferens Europa sekali lagi.
Nasib dua lagi pasukan ‘Big 6’ iaitu Manchester United dan Tottenham Hotspur pula dijangka hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-13 dan 14 dan The Red Devils memerlukan magis untuk muncul juara Liga Europa musim ini jika mahu meraih slot UCL.
Tiga kelab bakal tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan juga hampir pasti menjadi milik Southampton, Leicester City dan Ipswich Town yang semakin sukar untuk menyelamatkan diri. – AGENSI