BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memerlukan sedikit masa sebelum mengesahkan sama ada akan beraksi ataupun tidak pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China bermula 8 hingga 13 April depan.
Ia berikutan kecederaan bahu kanan yang dialami Aaron sehingga menyaksikan bekas juara dunia itu tersingkir seawal pusingan pertama ketika beraksi pada kejohanan All England di Birmingham minggu lalu.
Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya akan memantau keadaan Aaron terlebih dahulu sebelum membuat keputusan pasangan No. 5 dunia itu sempat pulih ataupun tidak.
Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, maka Aaron-Wooi Yik dijangka terlepas kejohanan Asia itu dan akan dipersiapkan bagi menghadapi saingan Piala Sudirman di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei depan.
“Saya tidak boleh cakap apa-apa sehingga kami dapat laporan daripada pasukan fisioterapi. Kita mesti ambil berat mengenai keadaan sama ada boleh bermain (di BAC) ataupun kita terus siapkan untuk Piala Sudirman.
“Saya akan buat susulan dengan pasukan perubatan dan tengok macam mana nanti, mungkin dalam minggu ini. Mereka sudah balik (dari All England) lebih awal dan sudah mendapat rehat,” katanya.
Aaron-Wooi Yik mengalami mimpi ngeri apabila tersingkir seawal pusingan pertama di All England selepas tewas 16-21, 21-16, 18-21 kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.
Sementara itu, Rexy turut menjelaskan, beliau akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa prestasi bagi membuat post-mortem atas prestasi hambar pemain-pemain negara pada All England baru-baru ini.
“Memang ini prestasi paling buruk kecuali Pearly Tan-M. Thinaah yang dibelenggu kecederaan. Kita akan buat penilaian dengan mengadakan mesyuarat pada 24 Mac, jadi saya tidak mahu cakap apa-apa dahulu,” ujarnya.