JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk seorang wanita berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi tiga pertuduhan memiliki dan mengedar dadah pelbagai jenis dadah dengan berat kasar lebih 31 kilogram, awal bulan ini.
Tertuduh, K. Satish Kumar, 32, B. Letchumanan, 43; S. Pavatraj, 18; dan C. Lavanya, 30, menggangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama bagi mencapai niat bersama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 31,900 gram.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah apartmen di Jalan Tebrau 1, Tebrau pada pukul 12.15 tengah malam pada 5 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 13.50 gram dan nimetazepam dengan anggaran berat kasar 2.20 gram.
Perbuatan mereka itu dilakukan pada hari dan waktu yang sama serta tempat yang sama bagi pertuduhan pertama. – KOSMO! ONLINE