PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang dihadapinya akan didengar esok di Mahkamah Rayuan di sini.
Sebelum ini, Syed Saddiq , 32, dalam satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata beliau telah mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan rayuan tersebut.
Terdahulu, dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 28 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi berpendapat, tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.
Selain itu, mahkamah turut berpendapat tindakan tertuduh menyimpan dan membahagikan wang tunai yang dikeluarkan, tanpa disimpan di suatu tempat yang selamat di pejabat Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) juga menimbulkan satu inferens niat jahat (bad faith).
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Jika gagal membayar denda,Syed Saddiq boleh dipenjara empat tahun.
Bagaimanapun ada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE