fbpx

Dua ‘transporter’ ganja dapat upah RM4,000 setiap trip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Zani @ Mohd. Salahuddin (tiga,kiri) menunjukkan bunga ganja yang dirampas pada sidang akhbar di IPD SPU, hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja di negara ini susulan penahanan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai di sini, Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, suspek pertama berusia 46 tahun ditahan ketika memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV di kawasan Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, kira-kira pukul 9.20 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan tujuh buah guni berisi dadah jenis ganja seberat lebih 146 kilogram (kg) dan bunga ganja seberat lebih satu kg.

“Turut dirampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer, dua kelopak peluru kosong dan tiga pasang gari.

“Susulan tangkapan suspek terbabit telah membawa kepada penahanan suspek kedua yang berusia 24 tahun di Plaza Tol Simpang Ampat arah selatan, kira-kira pukul 9.25 pagi hari sama.

“Suspek yang memandu kereta jenis Toyota Altis adalah ‘sweeper’ iaitu individu yang memastikan jalan yang dilalui suspek pertama lancar dan bebas daripada penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, nilai rampasan dadah dianggarkan RM487, 243 dan turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM5,710 serta barang kemas terdiri seutas rantai leher, tiga bentuk cincin serta dua pasang anting-anting. Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM604,213.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua ‘transporter’ yang bekerja sebagai pemandu lori itu menerima upah sebanyak RM4,000 bagi setiap trip.

Katanya, masing-masing suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan malah salah seorang daripadanya didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.

“Kedua-duanya direman selama tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan. Bekalan ganja yang dirampas diseludup dari Thailand dan akan dibawa ke kawasan Lembah Klang dan Kedah.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah mereka akan menyewa kereta untuk menjalankan kegiatan ini bagi mengelakkan daripada dikesan pihak polis. Kita sedang giat mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI