PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara kejam di Gaza yang meragut nyawa lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan di bumi Palestin.
“Saya berasa amat sedih dan berdukacita atas pemergian lapan petugas kemanusiaan Mapim yang telah syahid dalam serangan udara kejam di Gaza.
“Mereka adalah wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara kita yang tertindas,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ujarnya, pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Mapim tetapi juga seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.
“Marilah kita terus berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu.
“Semoga roh para syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, lapan petugas kemanusiaan Mapim maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata serangan berlaku pukul 1.30 tengah hari, ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel. – KOSMO! ONLINE