JOHOR BAHRU – Kegiatan satu sindiket antarabangsa yang aktif melakukan kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak Julai tahun lalu akhirnya tersungkur apabila tujuh ahlinya diberkas dalam lima serbuan di Johor Jaya dan Gelang Patah, di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan bermula 12 tengah hari 6 Mac sehingga 10 malam, 11 Mac lalu, suspek yang diberkas terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua warga Taiwan berusia 25 hingga 40 tahun.
Menurutnya, dalam lima siri serbuan itu pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses dadah, kenderaan, akaun bank serta barang kemas disita bernilai RM14.46 juta dirampas.
“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya membingkar tiga makmal dadah haram dan sebuah kilang melibatkan serbuan di Gelang Patah, Iskandar Puteri dan Johor Jaya, Seri Alam, Johor Bahru.
“Sindiket ini disyaki bergiat aktif sejak Julai tahun lalu dengan menggunakan modus operandi menjadi rumah teres dan banglo berpengawal sebagai tempat memproses dadah.
“Manakala kilang yang diserbu di Kawasan Perindustrian Gelang Patah dijadi sebagai stor simpanan dadah yang telah siap diproses sebelum diedarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Kumar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak 42.5 kilogram (kg) serbuk Methylenedioxymethamphetsmine (MDMA) dan 182.8kg syabu bernilai RM12.9 juta.
Tambahnya, tiga daripada lima warga tempatan yang ditahan disyaki bertindak sebagai kimia.
“Mereka bukan ahli kimia bertauliah, mereka belajar sendiri untuk buat dadah, kemungkinan rujuk dalam internet dan sebagainya,”katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Kumar memberitahu, kesemua suspek direman sehingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.-KOSMO! ONLINE