MIAMI – Kapten Argentina, Lionel Messi terpaksa melupakan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 kali ini selepas mengalami kecederaan ketika mewakili kelabnya, Inter Miami pada kelmarin.
Sebagai rekod, Messi yang kini berusia 38 tahun mengalami kecederaan ketika beraksi menentang Atlanta United dalam saingan Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) sebelum disisihkan selepas menjalani ujian imbasan magnetik resonans (MRI) semalam.
“Kami telah melakukan ujian imbasan MRI buat Messi yang rasa tidak selesa di bahagian otot kaki selepas mewakili pasukan ketika bertemu Atlanta.
“Pegawai perubatan telah mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian pangkal peha dan perlu menjalani proses pemulihan,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pengurusan Inter Miami.
Situasi tersebut sekali gus merencatkan perancangan jurulatih Argentina, Lionel Scaloni yang memburu slot kelayakan automatik ke Piala Dunia 2026 pada aksi bertemu Uruguay dan Brazil pada bulan ini. – AGENSI