ISKANDAR PUTERI – Kertas siasatan kes warga emas menampar pemuda bukan Muslim di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewat-lewatnya pada Jumaat ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 65 tahun itu telah dirakam percakapannya semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Mangsa berusia 21 tahun dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan, manakala suspek dan beberapa saksi termasuk anaknya sudah direkodkan keterangan. Doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR sebelum Jumaat ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahinder Singh dalam kenyataannya memaklumkan, mangsa membuat laporan berhubung insiden itu pada pukul 9.08 malam, Ahad lalu.
Mangsa mendakwa dia ditampar sebanyak dua kali pada pipi kanan oleh lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.
Katanya, keengganan mangsa menyerahkan MyKad miliknya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditampar. Kejadian itu kemudian tular di media sosial.
Dalam pada itu, Kumar meminta orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut kerana boleh menggugat keamaan dan keharmonian.
“Insiden yang terjadi ini terpencil. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mengutamakan toleransi.
“Oleh itu, jangan kita mengambil tindakan di tangan sendiri kerana ada pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Orang awam boleh menyalurkan maklumat dan bukan buat tindakan sendiri,” katanya.-KOSMO! ONLINE