BEREGU lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula dengan langkah kanan pada kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok apabila menang aksi pertama saingan Kumpulan B semalam.
Naib juara All England 2019 itu mengetepikan saingan gandingan No. 8 dunia dari Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae menerusi aksi straight-set 21-14, 21-19.
Kemenangan itu sekali gus membakar semangat Aaron-Wooi Yik menjelang dua lagi aksi peringkat kumpulan menentang jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dan wakil Rusia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.
Kata Aaron, mereka sangat berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pada perlawanan itu, lebih-lebih lagi apabila dapat membaca sepenuhnya corak permainan lawan.
“Hari ini (semalam) kami puas hati dengan aksi keseluruhan. Taktik digunakan membuahkan hasil. Kami berbincang sebelum masuk gelanggang dan ia membantu.
“Kami dapat membaca dengan baik corak permainan lawan, sekali gus menyebabkan kami dapat bermain dengan yakin. Kemenangan ini beri kami keyakinan menjelang dua perlawanan akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, pemain berusia 24 tahun berkenaan enggan berasa terlalu selesa dengan kemenangan tersebut kerana mengganggap saingan Kumpulan B lebih sukar.
“Secara jujur, jika dibandingkan dengan Kumpulan A, saingan Kumpulan B sebenarnya lebih sukar. Kami perlu berada pada prestasi terbaik dalam setiap perlawanan jika mahu layak ke peringkat seterusnya,” ujarnya lagi.