KOTA BHARU – Seorang hakim syarie terkejut melihat cebisan 500 kitab pengajian Islam bernilai lebih RM50,000 hangus dijilat api dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Bunut Payong di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, Zulkiflee Mohamed, 58, yang bertugas di Mahkamah Syariah Bachok tiada di rumah kerana keluar solat tarawih di Masjid Langgar di sini bersama anaknya, Ahmad Hamzallah, 27.
Zulkiflee berkata, sewaktu kejadian, isterinya, Hamidah Mat, 58, dan anak bongsu, Ahmad Amar Faiz, 17, turut keluar menunaikan solat tarawih di masjid bersama menantu serta empat asnaf yang tinggal bersama mereka.
Katanya, ketika menunaikan solat sunat itu, mangsa menerima panggilan daripada salah seorang anaknya pada pukul 9.30 malam mengatakan rumah mereka terbakar.
“Saya bergegas pulang dan mendapati rumah sudah hangus dijilat api. Difahamkan, api merebak dengan cepat dalam masa 15 minit sehingga menyebabkan rumah saya ranap.
“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah termasuk 500 kitab dengan sebahagiannya dibeli dari Mesir berharga RM50,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Zulkiflee memberitahu, kesemua kitab yang rata-ratanya berusia lebih 30 tahun itu disimpan dalam tiga buah almari telah terbakar selain wang tunai, barang kemas dan trak pikap jenis Ford Ranger.
Katanya, penduduk kampung memaklumkan mereka melihat kepulan asap dan api menyala di ruang dapur.
“Meskipun rugi hampir RM300,000, saya tetap bersyukur apabila semua ahli keluarga selamat. Saya anggap ini dugaan buat kami sekeluarga ketika menghadapi malam-malam terakhir Ramadan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, seramai 21 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi pemadaman. Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE