fbpx

Belum ‘bungkus’ AC Mizal nafi Suke TV sudah bankrap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AC Mizal menjanjikan ada khabar gembira yang bakal diumumkan berhubung stesen Suke TV miliknya tapi bukan dalam masa terdekat.

KUALA LUMPUR – “Suke TV berjalan seperti biasa, belum bankrap dan masih beroperasi.”

Demikian respons pengacara AC Mizal yang menyangkal khabar angin mengenai dakwaan stesen televisyen miliknya, Suke TV bakal menamatkan operasi tidak lama lagi.

Dalam masa sama, AC atau nama asalnya Mizal Zaini, 54, memaklumkan pihaknya mempunyai lagi banyak perancangan yang ingin dilakukan buat stesen televisyen berkenaan.

“Akan ada berita gembira tidak lama lagi. Alhamdulillah, kami sudah tiga tahun, banyak perancangan bakal direalisasikan selepas ini,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Bukan hanya itu, AC juga didakwa gagal membuat pembayaran gaji pekerjanya tetapi dia lebih memilih menyelesaikan perkara tersebut mengikut saluran undang-undang.

“Perkara itu sekarang dalam peringkat mahkamah, kami kini berbalas saman dan saya serahkan kepada pihak peguam untuk menguruskannya.

“Urusan itu juga akan berjalan selepas raya, memang tiada perjumpaan luar kerana saya lebih suka selesaikan di mahkamah,” jelasnya.

Terus memandang ke hadapan, pelakon filem Baik Punya Cilok itu tidak menafikan pasang surut dalam perniagaan namun tidak berputus asa dalam mengembangkan stesen berkenaan.

“Asam garam perniagaan ada turun naik tetapi kami cuba uruskan dengan sebaik mungkin.

“Kadangkala perniagaan ini memerlukan perancangan yang betul, saya tidak mahu hebahkan tetapi semuanya terbengkalai. Disebabkan kami bersaing dengan stesen televisyen lain, kami kena lihat masa sesuai.

“Pelaburan diperlukan untuk konten besar jadi kami perlu pastikan stesen lain memberi ruang kepada kami yang kecil,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, seorang individu tampil mendedahkan tidak menerima gaji ketika berkhidmat di sebuah stesen televisyen.

Individu terbabit turut mendakwa bukan sahaja isu pembayaran gaji bahkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso juga tertunggak.

Kemudian, AC tampil menafikan semua tohmahan tersebut dan menyifatkan kenyataan tidak berasas dipercayai dibuat bekas pekerja stesen televisyen miliknya sebagai fitnah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI