fbpx

Padah jual beg LV, Gucci, Chanel tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN Pulau Pinang ketika operasi di premis menjual barangan mewah tiruan di kawasan Perda, Bukit Mertajam, semalam.

SEBERANG PERAI – Tindakan pemilik premis menjual koleksi barangan mewah tiruan mengundang padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di kawasan Perda di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sebanyak 171 unit barangan tiruan seperti kasut, beg tangan, tudung dan dompet daripada jenama Louis Vuitton (LV), Yves Saint Laurent (YSL), Gucci, Balenciaga dan Chanel disita.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, operasi tersebut dijalankan susulan aduan daripada Biro Pengaduan Awam (BPA) dan turut disertai dua wakil pengadu dari Global Trade Shields (GTS).

Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati premis tersebut sedang beroperasi dan terdapat lima jenama terkenal berdaftar di bawah GTS iaitu LV, YSL, Gucci, Balenciaga serta Chanel dipamerkan untuk jualan.

“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati barangan-barangan tersebut menggunakan jenama-jenama berkenaan secara tidak sah, melanggar Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

“Selain itu, beberapa dokumen perniagaan turut disita bagi membantu siasatan. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM36,642.00,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, pemilik perniagaan iaitu seorang wanita tempatan turut hadir ke lokasi selepas dihubungi untuk memberikan kerjasama dalam siasatan lanjut.

“Operasi ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR, yang telah dilancarkan pada 19 Oktober 2024 bagi bertujuan membanteras penipuan dan penjualan barangan tiruan dalam pasaran.

“KPDN menasihati semua pihak agar tidak terlibat dalam aktiviti penjualan barangan tiruan yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga berisiko membahayakan pengguna dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI