SHAH ALAM- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkemungkinan besar dipilih sebagai lokasi upacara perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) yang ke-22.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pemilihan SIC berkenaan setelah pihak pengurusan litar tersebut menyuarakan minat bersama-sama untuk menganjurkan perasmian sukan itu.
“Saya boleh katakan 80 peratus SIC menjadi venue perasmian. Kini, Sekretariat SUKMA sedang melakukan perbincangan dengan pengurusan SIC.
“Sebelum ini, pihak SIC ada menyuarakan minat kepada kami untuk menganjurkan perasmian temasya itu, justeru kami mengalu-alukan minat mereka,” katanya pada Majlis Iftar Belia Selangor 2025 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini, malam tadi.
Kosmo! sebelum ini melaporkan antara venue utama dipertimbangkan bagi perasmian penganjuran temasya Sukma Selangir adalah SIC dan dan Stadium Merdeka selepas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) hanya dijangka siap pada 2027. – KOSMO! ONLINE