fbpx

Haiwan di LPT2 lebih bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUAT KUASA MPK menjalankan operasi menangkap lembu di LPT2, Kemaman baru-baru ini.

KEMAMAN – Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mengakui pihaknya menghadapi kesukaran untuk menangkap haiwan ternakan yang berkeliaran di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim berkata, operasi menangkap haiwan ternakan seper­ti lembu dan kerbau di lebuh raya agak mencabar kerana faktor lokasi dan logistik.

“Kita hadapi kesukaran untuk menangkap haiwan ternakan di LPT2. Ini kerana, kebiasaannya haiwan tersebut akan meluru masuk ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran lebuh raya untuk melarikan diri apabila didekati anggota penguat kuasa.

“Haiwan tersebut bijak menyelinap masuk melalui lubang pagar lebuh raya yang sedia berlubang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jusman memberitahu, secara purata hanya dua ekor haiwan ternakan berjaya ditangkap dalam setiap operasi yang telah dilakukan di LPT2 sejak 2016.

Begitupun, beliau menegaskan MPK tidak pernah berputus asa dan tetap komited bekerjasama dengan syarikat konsesi, LPT2 Sdn. Bhd., Lembaga Lebuh Raya Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menangani isu haiwan ternakan menceroboh kawasan lebuh raya berkenaan.

“Operasi menangkap dan memindahkan haiwan ternakan berkeliaran di LPT2 konsisten dilakukan secara berkala sejak tahun 2016,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Jusman memberitahu, pihaknya berjaya menangkap 73 ekor haiwan ternakan berkeliaran di sekitar daerah tersebut sepanjang tahun lalu.

Jelasnya, kesemua haiwan ternakan merangkumi 14 ekor lembu dan 59 ekor kambing tersebut ditangkap dalam 26 operasi yang dilakukan di daerah ini.

“Kita telah mengutip kompaun sebanyak RM2,000 selain RM11,000 menerusi sesi lelongan dan tebusan haiwan ternakan yang ditangkap pada tahun lalu,” ujarnya.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan kemalangan disebabkan haiwan ternakan semakin menjadi-jadi di LPT2 termasuk terbaharu me­libatkan dua kereta yang merempuh sembilan ekor lembu hingga mati di KM291.1 berhampiran Kijal di sini pada 22 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI