TOKYO – Individu yang mahu mendaki Gunung Fuji dari empat laluan utama akan dikenakan bayaran masuk 4,000 yen (RM119) bermula musim panas tahun ini, selepas pentadbiran tempatan meluluskan rang undang-undang mengenainya kelmarin.
Kehadiran ramai pelancong asing telah mencetuskan kebimbangan mengenai kesesakan di gunung tertinggi di Jepun itu yang terletak dalam wilayah Yamanashi.
Pada tahun lepas, Yamanashi memperkenalkan yuran kemasukan 2,000 yen (RM59) dan sumbangan sukarela untuk laluan pendakian Gunung Fuji yang paling popular,Yoshida Trail.
Yuran untuk pendaki melalui Yoshida Trail akan digandakan untuk musim pendakian Julai-September tahun ini.
Wilayah berjiran, Shizuoka turut meluluskan rang undang-undang untuk turut mengutip bayaran 4,000 yen untuk tiga laluannya yang sebelum ini percuma.
Bilangan pendaki yang mendaki Gunung Fuji menurun kepada 204,316 orang tahun lepas berbanding 221,322 pada 2023 susulan sekatan baharu dikenakan terhadap pendaki, demikian menurut data Kementerian Alam Sekitar. – AFP