PETALING JAYA – Pemilik Facebook yang telah memuat naik hantaran mengaitkannya dengan Nabi Muhammad SAW, akur dengan teguran dan nasihat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas pertemuan diadakan semalam.
Ainon Mohd. menerusi hantaran Facebook turut mengemukakan permohonan maaf serta telah menurunkan hantaran kontroversi berkenaan.
“Saya Ainon Mohd., dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jakim dalam pertemuan yang berlangsung hari ini (semalam).
“Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini.
“Sehubungan itu, saya telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan,” katanya.
Ainon yang juga seorang penulis serta berkecimpung dalam industri penerbitan buku berkata, beliau memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam.
Katanya, selain itu beliau akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan di masa hadapan.
“Saya juga memberi komitmen kepada pihak berkuasa untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial.
“Merujuk pakar bidang dalam isu-isu sensitif berkaitan Nabi. Menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas apa-apa isu berbangkit sebelum ini,” katanya.
Beliau menghormati usaha Jakim dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Sebagai seorang yang bergiat dalam bidang penerbitan, saya sentiasa menyokong usaha dakwah dan pendidikan yang membina kefahaman Islam dengan penuh adab dan tanggungjawab.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsian di masa akan datang serta sentiasa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama.
“Sekali lagi, saya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menghargai teguran serta nasihat yang diberikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE