KAMPAR – Seorang maut dan dua cedera termasuk bayi berumur dua bulan apabila sebuah kereta Proton Exora hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 303, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini pada pukul 2.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu, Mohamad Azlan Kamarulzaman, 34, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Beruntung, Selangor dari Kulim, Kedah.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang besi sebelah kiri jalan. Mangsa maut kerana mengalami kecederaan dalaman.
“Sementara itu, dua penumpang lain iaitu Nor Haziah Mat Radzi, 34, cedera di bahagian kepala, mata dan dahu dan seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Muhammad Adam Mohamad Azlan mengalami kecederaan dalaman,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, kesemua mangsa ialah satu keluarga. Mangsa yang maut bekerja di sebuah kilang sementara Nor Haziah merupakan seorang suri rumah.
Katanya, dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala bedah siasat mangsa maut akan dijalankan di Hospital Kampar. – KOSMO! ONLINE