KLANG – Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi telah memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes menceroboh dan mengambil kenderaan tanpa kebenaran daripada sebuah syarikat perkapalan di Kota Bayu Emas, Pendamar di sini.
Perkara itu dimaklumkan Yusuf menerusi laman Instagramnya dengan tiga pegawai polis telah hadir ke pejabatnya.
“Terima kasih banyak-banyak kerana telah bertindak adil kepada semua. Alhamdulillah kita telah selesai bagi rakaman percakapan.
“Saya ucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mereka adalah pegawai yang bagus dan Alhamdulillah tegas, adil dan amanah yang kita nak,” katanya.
Jelasnya, beliau telah memberikan kerjasama yang baik selain berharap keadilan dapat ditegakkan.
Menerusi video berdurasi 48 saat juga memaparkan Yusuf dipercayai menunjukkan bahan bagi membantu siasatan menerusi sebuah telefon bimbit.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu menceroboh dan mengambil kenderaan tanpa kebenaran daripada sebuah syarikat perkapalan.
Ini selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang juga pengarah syarikat itu, pukul 6.24 petang, 13 Mac lalu.
Pengadu memaklumkan sekumpulan lelaki datang ke salah sebuah parkir dan mengeluarkan 28 buah kereta yang masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan tuntutan pihak insurans. – KOSMO! ONLINE