fbpx

SPRM buka beberapa fail baharu siasatan terhadap Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam ketika ditemui pemberita di UiTM Shah Alam hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF

 

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka beberapa fail baharu berhubung siasatan terhadap bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu dilakukan berdasarkan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya dengan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada Ahli Parlimen Bera tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

“Jadi kita bukan sahaja membuka fail asal berkaitan isu Keluarga Malaysia, tetapi berdasarkan maklumat terbaharu atau ‘new list’ dan juga risikan kita.

“Maka kita membuka beberapa fail lagi terhadap beliau (Ismail Sabri) yang mana ia berkaitan dengan harta-harta beliau termasuk diarahkan untuk mengisytihar hartanya. Itu perkara pertama,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Azam menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan, bekas Perdana Menteri itu juga perlu menjawab mengenai isu-isu tomahan rasuah.

“Yang ketiga, berhubung penemuan wang yang telah ditunjukkan kepada tuan-tuan semua, yang ini (perkara-perkara) yang perlu kita siasat dan dia perlu jawab.

“Jadi tak tahulah bila masa akan datang, sekiranya timbul isu-isu baru, saya memberi jaminan SPRM akan terus menyiasat walaupun isu itu baru timbul,” tegasnya.

Jelasnya, Ismail Sabri akan dipanggil lagi untuk memberikan keterangan kepada agensi tersebut.

“Hari ini, diambil lagi rakaman percakapan beliau dan akan disambung (beri keterangan), saya tak pasti sama ada esok atau lusa.

“Setakat ini, hanya empat orang ditangkap (sebelum ini) yang disiasat bersama Ismail Sabri. Kalau ada tangkapan baharu, saya akan kemas kini (perkembangan),” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan SPRM menyita wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri.

Sitaan itu dibuat hasil penggeledahan di kediaman empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri yang ditahan selain tiga lokasi lain dipercayai dijadikan ‘safehouse’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI