PETALING JAYA – Khidmat mutawif lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden menumbuk seorang pelajar berusia 17 tahun sehingga cedera di Saujana Impian, Kajang baru-baru ini dihentikan serta-merta.
Pihak Atlis Holidays Sdn. Bhd. berkata, pihaknya juga tidak pernah melantik pelaku itu sebagai Penasihat Syariah Syarikat seperti mana yang dipaparkan di butiran profil Facebook lelaki tersebut.
“Untuk makluman, pelaku tersebut hanya bertugas sebagai mutawif secara freelance (sambilan) dengan syarikat kami.
“Pihak kami telah membuat laporan polis untuk melindungi perniagaan dan tindakan pelaku tersebut yang memuat naik butiran profil di Facebook yang mengelirukan masyarakat umum,” katanya di sini hari ini.
Atlis Holidays membuat hebahan secara rasmi bagi menjelaskan bahawa syarikat itu tidak mempunyai sebarang kaitan atau tanggungjawab atau liabiliti berhubung tindakan peribadi pelaku tersebut.
“Akhlak pelaku tidak mewakill keseluruhan syarikat. Tugas beliau sebagai mutawif di berhentikan serta-merta.
“Kami berharap penerangan yang diberikan ini dapat menjelaskan posisi syarikat kami berhubung situasi yang sedang berlaku.
“Kami juga berharap isu yang sedang berlaku antara pelaku dan mangsa dapat diselesaikan dengan seadilnya oleh pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, pihak syarikat juga menegaskan bahawa Atlis Holidays tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat komen atau hantaran berbaur ancaman, ugutan dan fitnah dilemparkan. – KOSMO! ONLINE