TERMAS DE RIO HONDO, Argentina – Marc Marquez terus membuktikan kehebatannya apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut sejurus merangkul gelaran juara Grand Prix (GP) Argentina awal pagi semalam.
Kemenangan di Termas de Rio Hondo itu membolehkan Marquez muncul pelumba pertama berjaya meraih kemenangan berturut-turut di dalam perlumbaan sprint dan utama serta turut menempah petak pertama dalam dua pusingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025.
Kejayaan luar biasa tersebut mengukuhkan lagi sasaran Marquez untuk kembali meraih gelaran dunia selepas kali terakhir merangkulnya pada 2019 ketika bersama Honda.
“Hari ini saya tidak begitu yakin dengan tayar belakang, ada beberapa masalah. Saya melihat Alex (Marquez) mengawal perlumbaan dengan baik.
“Saya fikir, tempat kedua pun tidak mengapa, tetapi akhirnya saya mula mendapat rentak dan tayar menjadi lebih baik.
“Alex adalah pencabar utama untuk kejuaraan kerana dia sentiasa mengekalkan kelajuan di selekoh. Saya terfikir, hari ini dia berada di tahap yang berbeza,” katanya yang kini menyamai rekod Angel Nieto dengan 90 kemenangan dalam semua kelas perlumbaan.
Sementara itu, Franco Morbidelli dari VR46 Racing turut mencuri tumpuan apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, manakala rakan sepasukan Marquez, Francesco Bagnaia sekadar di tempat keempat.
Hasil kemenangan tersebut, Marquez kini menduduki tangga teratas kejuaraan MotoGP dengan mengumpul 74 mata, diikuti adiknya, Alex (58 mata) dan Bagnaia di tempat ketiga (43 mata). – AGENSI