JOHOR BAHRU – Umat Islam di negeri ini diingatkan untuk tidak bersifat serkap jarang sebaliknya menyiasat sesuatu perkara dahulu termasuklah bagi niat mencecah kemungkaran.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, dalam apa jua situasi, adalah tidak dibenarkan mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Nasihat saya kepada semua pihak, nak cegah kemungkaran bagus tapi kena siasat dulu. Islam suruh kita bertabayun. Jangan kita salah hukum orang dan kita tak berhak menghukum,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan serbuan Op Kesan di Pasar Borong Pandan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden seorang warga emas menampar individu yang sedang makan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, di sini yang tular di media sosial.
Mohd. Fared berkata, tindakan warga emas itu merupakan satu kesalahan berdasarkan siasatan awal, didapati bahawa individu yang ditampar itu bukan beragama Islam.
“Laporkan, biar kami yang turun siasat dan buat tangkapan jika perlu ataupun menghantarkan notis barulah tindakan undang-undang susulan diambil.
“Jangan gunakan tindakan peribadi, ia bukan saja menyalahi syarak tetapi menyalahi undang-undang ketika ini juga. Saya harap tak berlaku lagi di Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE