KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 790 fakir miskin dan pelajar sekolah di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini, hari ini.
Baginda berdua juga berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh negeri ini berupa wang tunai dan barangan keperluan harian daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, bantuan turut disampaikan kepada golongan pesara, ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim dan pelajar asnaf dari dua madrasah dan pusat pengajian Islam.
“Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban kewangan semua penerima untuk menyambut kedatangan Aidilfitri dengan lebih ceria tidak lama lagi.
“YDSM juga sangat berterima kasih dengan syarikat-syarikat korporat yang banyak memberi sumbangan kepada yayasan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini hari ini.
Mohd. Fadzli berkata, YDSM memperuntukkan RM277,500 untuk disumbangkan kepada 790 penerima pelbagai kategori terbabit.
Beliau berkata, setiap fakir miskin menerima bantuan tunai sebanyak RM500, selain barangan asas bernilai RM250.
“Bagi 240 murid dan pelajar dari lapan sekolah terpilih pula menerima bantuan RM250 seorang,” katanya. – KOSMO! ONLINE