LONDON – Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya mengharungi detik paling sukar pada musim ini selepas terlepas dua trofi penting dalam tempoh seminggu selepas tewas final Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam.
Sebagai rekod, misi The Reds untuk menjulang trofi pertama musim ini sekali gus mempertahan kejuaraan Piala EFL yang dimenangi musim lalu tidak kesampaian apabila tewas mengejut 1-2 kepada Newcastle United di Stadium Wembley.
Kekalahan tersebut menambah luka buat barisan pemain The Kop yang sebelum ini kecewa apabila gagal melangkah ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paris Saint-Germain (PSG) musim lalu.
Menurut Slot, kekalahan tersebut di luar jangkaan, tetapi menepis dakwaan bahawa pemainnya sudah kehilangan ‘aura’ untuk memberikan yang terbaik sepanjang aksi final semalam.
“Selepas tujuh bulan bersama, saya rasa baru kali ini kita tewas dua perlawanan berturut-turut dan saya lihat kita kalah kepada dua pasukan yang berkualiti seperti Newcastle dan PSG. Buat masa ini, PSG adalah pasukan terbaik di Eropah.
“Namun, saya akui sangat kecewa selepas wisel penamat ditiupkan pada aksi final ini berbanding ketika bertemu PSG. Newcastle jelas pasukan yang hebat dan layak untuk menang final kali ini.
“Pasukan lawan bermati-matian di atas padang kerana sedar ini adalah peluang mereka untuk menamatkan penantian 70 tahun dan pemain mereka cukup bersemangat sepanjang 90 minit perlawanan.
“Cuma, saya tidak mahu pemain anggap situasi ini sebagai negatif kerana kita masih memiliki kelebihan 12 mata berbanding pencabar terdekat, Arsenal dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini,” katanya.
Mengulas lanjut, pengendali dari Belanda itu turut berharap cuti rehat dua minggu bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa dapat memulihkan barisan pemain yang dilihat agak penat daripada mental dan fizikal selepas harungi musim yang panjang.
“Kalau boleh saya mahu kita terus beraksi pada minggu depan tetapi kini kita ada lebih banyak masa sebelum mengharungi perlawanan menentang Everton pada 2 April depan,” katanya. – AGENSI