fbpx

Ambil masa setahun pulihkan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEMASA kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari lalu, bayangan suasana ketika negara melaksanakan PKP kali pertama pada Mac tahun lalu menjelma.

Ketika itu, seluruh rakyat Malaysia mematuhi arahan selama tiga bulan. Jalan raya lengang, pusat beli-belah kosong, kedai ditutup. Kalau ada yang dibuka sekali pun, masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Pada 22 Januari lalu, enam lagi negeri melaksanakan PKP susulan penilaian risiko terhadap trend peningkatan kes positif Covid-19 di negeri-negeri terlibat.

Pertambahan negeri itu sekali gus memberi bayangan tempoh PKP 2.0 yang dilaksanakan kali ini dilanjutkan selama beberapa bulan.

Masing-masing mula tidak keruan memikirkan nasib yang bakal menimpa mereka.

Lebih menguatkan andaian tempoh PKP 2.0 bakal dilanjutkan adalah selepas kerajaan mengumumkan tarikh pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) fasa kedua pada 21 Ja­nuari lalu.

Ada peniaga yang sudah mula resah. Industri pelancongan yang sebelum ini diperbolehkan, terpaksa disekat semula.

Namun, keadan sedikit reda apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, PKP yang dijadualkan tamat pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan.

Pada sidang akhbar bertarikh 25 Januari lalu, Noor Hisham berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi sekiranya PKP dilanjutkan dan digantikan dengan PKP Bersyarat untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Menerusi pendekatan ini, kita menjangkakan pada Mei akan dapat turunkan kes (kadar jangkitan harian) kembali ke dua angka,” katanya pada sesi taklimat bersama media secara dalam talian.

Benar seperti apa yang dikatakan oleh Noor Hisham, sekiranya PKP 2.0 dilanjutkan, bagaimana dengan pertumbuhan ekonomi negara? Rakyat yang terkesan dengan PKP 1.0 mungkin akan terus menderita.

Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr. Baayah Baba berpandangan, adalah wajar pihak kerajaan tidak meneruskan PKP 2.0 demi memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dilakukan.

“Sepanjang PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu, banyak pihak yang terjejas. Isu pengangguran menjadi-jadi apabila ba­nyak perusahaan terpaksa membuang pekerja bagi menjimatkan kos operasi.

“Dengan penamatan PKP 2.0 pada 4 Februari ini, Insya-Allah diharapkan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan.

“Apa yang penting, (selepas PKP ditamatkan) adalah masyarakat terus patuh SOP yang ditetapkan bagi memastikan keadaan dikawal,” katanya.

Dalam usaha memulihkan semula ekonomi, Baayah memberi bayangan masa yang akan diambil adalah antara lapan bulan hingga setahun bagi tujuan itu.

Pada masa sama, Baayah turut memberi pandangan agar industri pelancongan yang menjadi antara sumber penting ekonomi negara dapat digiatkan semula untuk menjana pertumbuhan ekonomi bukan sahaja negara, bahkan pemain industri pelancongan.

“Kalau dapat dibuka semula pintu sempadan tidak mengapa, asalkan kemasukan para pelancong ke negara ini diperketatkan dan membenarkan mereka me­lancong ke negara ini dalam tempoh singkat misalnya antara tiga hingga lima hari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI