PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNWPKL) menerima empat aduan melibatkan bazar Ramadan menerusi sistem a-aduan.
KPDNWPKL dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan penguatkuasaan melalui Ops Pantau dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Tiga daripadanya susulan video viral melibatkan air limau harga RM10, mihun sup harga RM20 di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan kuih apam talam (tambah kelapa parut RM2) di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).
“Siasatan anggota penguat kuasa mendapati, individu menjual air limau dan mihun sup adalah peniaga haram dan tidak lagi berniaga di lokasi tersebut, manakala peniaga apam talam tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, KPDNWPKL berkata, lawatan dan pemeriksaan semula akan dijalankan oleh anggota penguat kuasa selama mana bazar beroperasi Ramadan ini.
Sehubungan itu, pihak kementerian mengalu-alukan laporan aduan melalui saluran berikut portal e-aduan.kpdn, Call Centre 1 800 886 800, emel ([email protected]) atau WhatsApp di talian 019-848 8000. – KOSMO! ONLINE