SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendedahkan ada runner mengaut keuntungan hampir RM750 bagi jualan slot tempahan janji temu di premis itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, ini dilakukan antara dengan menggunakan nombor casis sama, tetapi nombor pendaftaran berlainan bagi 200 slot itu.
Katanya, satu slot janji temu hanya berharga RM3.50 namun dijual sehingga RM750.
“Siasatan masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita sedang teliti, siapa dan mengapa melakukannya dan kita akan panggil (runner terlibat),” katanya hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau pemeriksaan kenderaan di Puspakom Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dipetik berkata, Puspakom tidak akan membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda selepas ini bagi nombor pendaftaran yang sama susulan mengesan penjualan slot oleh orang tengah kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.
Aedy Fadly menegaskan, pihaknya sedang mendapatkan bantuan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana tindakan boleh diambil kepada runner yang terlibat itu.
“Kita cuba dapatkan runner tersebut, tetapi buat masa sekarang semua saluran kita ada, tidak dapat hubungi. Jadi kita dapatkan kaedah lain utk dapatkan runner tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE