KUALA LUMPUR – Didakwa terlibat dalam salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pengarah dan pelakon Datuk Afdlin Shauki tidak menafikan tuduhan tersebut mempunyai kaitan dengan permainan kotor politik.
Kata Afdlin atau nama lengkapnya Afdlin Shauki Aksan, 54, kesemua spekulasi yang bertebaran sebelum ini berkemungkinan disebabkan timbul rasa iri hati atau tidak puas hati sesetengah pihak terhadap dirinya.
“Bagi saya, ini (dakwaan) bermotifkan politik. Dunia politik memang sangat kotor, sebagai orang yang berada dalam politik, kita kena pastikan kelompok kita kecil. Bila besar sangat, akan ada yang tidak puas hati.
“Mungkin juga dakwaan ini timbul kerana ada yang iri hati atau tidak puas hati,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak berkaitan kewujudan orang dalam sehingga dia dapat bebas daripada tuduhan, pelakon filem Papadom itu menegaskan dirinya hanya memohon pertolongan Allah.
“Saya ucapkan terima kasih kerana mereka fikir saya ada kabel yang kuat tetapi kalau kabel saya kuat, cerita ini tak akan keluar.
“Kabel saya hanya doa kepada Allah SWT. Itu sahaja yang saya ada. Saya solat, saya minta pada-Nya supaya membantu orang yang teraniaya.
“Kalau nak sesuatu itu jadi jelas, minta pada Allah. Kabel saya dengan Allah, itu paling kuat,” ujarnya semasa majlis sidang akhbar program raya Astro 2025.
Kekal mengunci mulut sepanjang kes berjalan, Afdlin akui mengambil pendekatan sedemikian atas nasihat orang terdekat agar jangan mengeruhkan keadaan.
“Bila isu mula-mula timbul, saya berdiam diri kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan dan mahu beri laluan kepada badan penyiasatan melakukan kerja mereka.
“Orang tuduh memang senang tetapi bila kita nak lawan semula, orang luar akan pandang enteng. Jadi saya diam dulu, dapatkan nasihat orang dalam parti dan mereka juga nasihatkan saya untuk berdiam diri,” tuturnya lagi.
Dalam masa sama, Afdlin turut ‘menyiasat’ sendiri dengan pihak DBKL sebelum kenyataan bahawa dirinya tidak bersalah dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Mereka beritahu saya ada laporan tetapi bagi pihak DBKL sendiri kata saya tidak salah kerana sudah mengikut tatakelola selain tugas saya memang mencari dana untuk yayasan.
“Saya juga sudah sedia beri kenyataan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi tahu-tahu selepas solat di Masjid Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki umumkan saya tiada kaitan dengan kes ini,” ujarnya lagi.
Disebabkan kes tersebut, Afdlin akui hilang kawan tetapi masih ramai juga yang mempercayainya tidak terlibat dalam isu terbabit.
“Memang ada yang tiba-tiba hilang, mungkin takut dikaitkan dengan saya atau masih ragu-ragu.
“Namun, ramai juga yang menghubungi dan menyatakan kepercayaan mereka kepada saya.
“Saya tahu siapa kawan, siapa bukan,” jelasnya.
Sebelum ini, tular dalam aplikasi Telegram Edisi Siasat yang mendakwa Afdlin juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL merupakan antara yang terlibat dengan salah laku dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL yang dikatakan bernilai lebih RM10 juta.
Pendedahan yang telah mendapat perhatian ramai itu menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan akauntabiliti dalam takbir urus DBKL.
Sehubungan itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa SPRM menjalankan siasatan bebas secara menyeluruh. – KOSMO! ONLINE